Perginya Putera Syurga Mama Yang Disayangi Arwah Muhammad Ameer

Muhammad Ameer Mohd Ikhsan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Titipan pada kali ini sekadar untuk mengingati Allahyarham Muhammad Ameer, perginya putera syurga mama fas yang disayangi…

 

 

Arwah Muhammad Ameer b Mohd Ikhsan
Tanggal 31 Disember 2014 bersamaan 9 Rabiulawal 1436 Hijrah jam 1.48 pagi, lahirlah seorang baby lelaki yang sangat sempurna dan comel…dilahirkan secara normal dengan berat 3.28kg..Alhamdulillah syukur Ya Allah..

 

 
Penantian selama 9 bulan dilahirkan awal 2 minggu sangat mengujakan. Setelah dilahirkan dan ditunjukkan kepada mama yang bayi itu adalah lelaki dan sempurna fizikal…hanya kata-kata syukur kepada Allah yang mampu ucapkan ketika itu…ketika itulah sahaja sempat mama lihat baby mama…syukur Alhamdulillah…

 

 
Kemudian datang pula doktor baby…waktu itu perasaan mama seperti biasa cuma seketika kemudian bertukar menjadi gementar bila doktor melaporkan keadaan baby mama ..

 

 
Doktor bagitau mama yang baby mama bertukar menjadi biru…bacaan spO2 juga rendah..doktor sudah usahakan dengan pemberian oksigen tapi keadaan tidak berubah…

 

 
Kebarangkalian besar baby mama mempunyai isu jantung.. tapi tetap memerlukan pengesahan pakar jantung kanak-kanak. Kemudian baby mama di bawa ke NICU untuk pemantauan.
Dalam keadaan yang masih baru bersalin mama rasa begitu kuat ketika itu hanya kerana ingin melihat anak mama sihat. Mama discas wad sebelum pukul 12 tengahari dan dalam pukul 1 lebih mama terus menemani baby mama ke Hospital Pulau Pinang untuk pengesahan pakar jantung kanak-kanak dengan menaiki ambulans.

 

 
Sedih ketika itu apabila baby mama menangis…mesti lapar anak mama… Tapi mama tak dapat nak pegang, peluk dan bagi susu mama lagi…sebabnya baby mama kena puasa dengan wayar berselirat dibadan…..sedihnya hati mama sayang…

 

 
Selesai doktor membuat pemeriksaan jantung….mama dipanggil…Ya Allah berdebarnya jantung mama dengan apa yang bakal di beritahu doktor nanti…pada masa yang sama mama berdoa agar baby mama sihat walafiat tanpa sebarang isu yang serius…

 

 
Akhirnya doktor mengesahkan yang baby mama ada isu jantung kongenital. Memiliki 2 aurikel tetapi satu ventrikel. Saluran arteri pulmonari yang terbalik dan sempit cukup menceritakan bahawa baby mama mempunyai isu jantung yang sangat sangat kompleks…

 

 
Tiada solusi yang boleh diambil sekalipun melalui pembedahan kerana ianya sangat kompleks…bantuan oksigen juga tidak memberi apa-apa perubahan kepada baby mama…apa yang akan dilakukan….apabila baby mama pulang semula ke hospital Alor Setar, bantuan oksigen dan ubat akan dihentikan….dan mama….perlu redha yang baby mama akan dilepaskan pergi perlahan-lahan.

 

 

Hancur luluh hati mama….sedih…pilu…tapi mama redha kerana Allah lebih sayangkan baby mama…Doktor menjangkakan hayat baby mama tidak lama mungkin dalam tempoh 2minggu sahaja…tetapi apapun semua bergantung kepada Yang Maha Kuasa.

 

 

Sementelah tiada apa yang boleh dilakukan, hati mama memberontak untuk membawa pulang baby mama….mama namakan baby mama Muhammad Ameer…bermaksud putera…biarlah apa pun berlaku asalkan mama dapat peluk cium belai Ameer…sekurang-kurangnya Ameer tidak rasa keseorangan di katil hospital…kalau ditakdirkan Ameer pergi…biarlah Ameer pergi dengan mama disisi….

 

 
Tapi apakan daya…ketika itu ramai yang menasihati agar biarkan Ameer dahulu di hospital..sekurang-kurangnya persekitaran dan peralatan perubatan ada sekiranya berlaku apa-apa…sekiranya Ameer pergi, mama kena redha…Mama akur, tapi pada mama biarlah sehingga jaundis Ameer turun..Alhamdulillah jaundis Ameer cepat turun dalam masa sehari sahaja…cukup seminggu mama dah tak sabar nak bawa Ameer pulang ke rumah…sementelah doktor sendiri mengakui tiada apa yang boleh dilakukan, jadi tiada apa yang perlu ditunggu…kata sepakat dicapai bersama suami, mak dan abah untuk bawa Ameer pulang…

 

 
Ya Allah…tiada apa yang boleh mama ucapkan selain setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT…mama bawa Ameer pulang dari hospital pada 7 Januari 2015…Ameer disambut gembira oleh abang dan kakak Ameer iaitu abang Ammar dan kakak Amanina…dipeluk ciumnya Ameer puas-puas…mama…adalah orang yang paling gembira apabila dapat mendakap Ameer dan menyusukannya….

 

 
Alhamdullillah…2 minggu berlalu…Muhammad Ameer membesar dengan sihat…Ya…Ameer masih dipanjangkan usia oleh Allah berkat doa orang-orang sekeliling, saudara mara dan sahabat handai..
Ameer juga seorang anak yang sangat baik…senang dijaga…menangis hanya bila hendak susu saja…memang sangat mudah berpantang kali ni…walaupun sibuk dengan abang Ammar yang baru nak mulakan sesi persekolahan di tadika. Namun, segala urusan mama dipermudahkan…Alhamdulillah..

 

 
Lepas sebulan berlalu seterusnya 2 bulan…
Tanggal 16 Mac 2015, Ameer membuat pemeriksaan di Penang… sehari sebelum itu, kami tidur dulu di rumah maktok Ameer di Balik Pulau…pertama kali Ameer menangis berlarutan…berjam-jam lamanya…tidak pernah Ameer begitu….risau sungguh hati mama…Ameer sakit ka…kat mana sakit sayang…mama tak tau nak buat apa….melainkan berzikir…ayah Ameer bacakan Yaasin dan akhirnya Ameer berhenti menangis dan tidur dalam keletihan…

 

 
Sejak itu, memang mama sentiasa pastikan Ameer untuk tidak menangis. Jika ada tanda Ameer nak menangis terus mama pujuk Ameer…diangkat dan didukung agar Ameer tidak mula menangis. Mama jadi takut bila Ameer menangis…Mama kesian kalau Ameer menangis lama…nanti Ameer penat…mama tak sampai hati sayang…

 

 

 

Sehari selepas check-up di Penang, kami bawa Ameer jalan-jalan ke Perak dan Kuala Lumpur…seminggu jugala berada di sana…dapatla saudara mara tengok Ameer…sesekali Ameer menangis….menangis lama kemudian tidur dalam keletihan…Begitulah keadaan Ameer, tetapi tidak selalu…sesekali saja…tapi kalau menangis tiba-tiba memang lama…sampai terberak-berak.

 

 
Pulang dari KL seminggu kemudian mama perasan Ameer sudah tidak mahu menyusu badan…ditolak dan menangis sekuat-kuatnya bila diberikan susu badan….bila diberikan susu botol, Ameer minum sepuas-puasnya…rupanya….mungkin ada sebab untuk Ameer putuskan susu dengan mama lebih awal….petanda pertama yang Ameer akan pergi meninggalkan mama…mungkin…tapi mama tak terfikir lagi ketika itu…

 

 
Bermula la episod Ameer kerap menangis….tengah seronok-seronok bersembang, tiba-tiba Ameer menangis….Ameer menangis sehingga berpeluh-peluh di dahi dan terberak-berak….nak berhenti pula lama sehingga Ameer tercungap-cungap kepenatan…akhirnya tidur begitu sahaja….mungkin Ameer kesakitan…hanya tangisan sahaja yang mampu Ameer lakukan…tapi mama….tak mampu buat apa-apa…melainkan memeluk dan memujuk Ameer…paling Ameer selesa adalah tidur dia atas dada mama secara meniarap…setiap malam begitu….takpe sayang, biarlah mama duduk sepanjang masa pun xpa…tidurlah macam manapun asalkan Ameer selesa….asalkan tak menangis…asalkan tak sakit….mama..ayah..abang ammar..kakak nina..atuk..opah..semua sayang Ameer…Ameer kuat ya…itu je yang mama mampu katakan….

 

 
Tanggal 10 April 2015….hari ini mama bermain dan bersembang-sembang dengan Ameer…seperti hari-hari sebelumnya bermain dan bersembang dengan Ameer tanpa ada rasa apa-apa…Atuk Opah…abang Ammar dan kakak nina juga berebut-rebut danbergilir-gilir main dengan Ameer…Ameer pula seronok sangat sambil gelak-gelak dan pandai keluarkan suara….semua gembira…

 

 
Kemudian, mama tinggalkan Ameer pada atuk sementara mama pergi solat zuhur…sebelum tu Ameer bersembang-sembang dengan atuk…tak lama kemudian…Ameer menangis…mama ingat Ameer menangis seperti kebiasaan di mana Ameer akan tidur apabila keletihan…tapi kali ni tidak….Ameer menangis dan menangis hampir 3jam..Dibacakan Yaasin ketika Ameer dalam pelukan dan riba mama….semoga Ameer tenang…kemudian Ameer tercungap-cungap berlarutan sehingga mangrib….mama cuba berikan susu tapi Ameer sudah tidak mahu menghisap….mama cuma boleh suapkan air zam zam dengan sudu…alhamdulillah…Ameer minum juga walaupun sikit-sikit…cungap-cungap Ameer semakin perlahan….kemudian mama dan atuk perhatikan tangan, kaki dan badan Ameer mula kebiruan….kebiruan yang diluar kebiasaan!!! Biru berbelak-belak…Ya Allah Ameer….mama dapat rasakan sesuatu…sesuatu yang cuba mama tolak jauh-jauh dari memikirkannya….adakah ini masanya….Ya Allah…kuatkanlah hatiku ini Ya Allah….

 

 
Mama minta atuk bawakan Ameer ke hospital…ketika itu Ameer sudah sangat lemah…..mama peluk erat-erat….cium puas-puas….berikan kata-kata semangat kepada Ameer…sampai di hospital bahagian kecemasan Ameer terus dibawa masuk sementara mama mendaftar di luar….kemudian mama masuk….para doktor sudah penuh mengelilingi dan cuba selamatkan Ameer….kemudian seorang doktor datang dan memberitahu mama yang Ameer sudah dipasangkan tiub pernafasan dan akan dibawa ke ICU kanak-kanak…sementara itu mama pergi membuat pendaftaran masuk wad….

 

 
Selesai membuat pendaftaran mama pergi berjumpa doktor untuk memberi maklumat tentang Ameer…doktor lain ketika itu sedang cuba selamatkan Ameer…doktor datang pada mama dan bagitau kondisi Ameer….dengan tenang doktor cuba memberitahu bahawa keadaan Ameer sangat kritikal….tekanan darah Ameer sudah tidak dapat dibaca….Ayah ketika itu dalam perjalanan sayang….Dalam keadaan Ameer sekarang berkemungkinan besar ayah tidak sempat melihat Ameer….doktor cuba sedaya upaya dengan bantuan ubat namun segalanya berserah kepada ALLAH…

 

 

Doktor membenarkan atuk untuk melihat Ameer….mama turun bawah dan bawa atuk masuk jumpa Ameer…sempat atuk bacakan Yaasin disisi Ameer….
Selesai bacakan Yaasin, mama hantar atuk ke kereta untuk atuk pulang berehat…jam menunjukkan 12.15 pagi…kemudian mama ke surau hospital untuk solat isyak dan baca Yaasin…jam 12.57 mama terima panggilan telefon….jururawat bagitau mama yang Ameer sudah tenat dan doktor sedang berusaha menyelamatkan Ameer…mama diminta naik…

 

 

Hati mama berdebar-debar….mama naik dan doktor mengajak mama ke satu sudut hospital….doktor cuba menenangkan mama yang ketika itu sudah menjangkakan keadaan Ameer…bersungguh-sungguh mama merayu nak tengok Ameer tapi doktor tidak benarkan…ketika itu doktor memberitahu denyutan jantung Ameer sudah berhenti dan mereka minta tempoh dalam 30 minit lagi untuk selamatkan Ameer….Ya Allah….selamatkanlah Ameer….
Jam 1.30 pagi 11 April 2015 bersamaan 21 Jamadilakhir 1436 Hijrah, genap usia Ameer 3 bulan 10 hari…doktor datang dan beritahu mama yang Ameer disahkan sudah tiada….innalillah hiwainna ilaihirojiun….sayang mama, Ameer sudah pergi ke pangkuan Ilahi…Allah lebih sayangkan Ameer….mama redha sayang….mama redha sejak Ameer dilahirkan lagi…..tapi…sangat berbeza perasaan mama ketika menerima berita yang Ameer sudah tiada….sangat sedih sayang…mama tak boleh tahan airmata mama….mama cuba kuatkan hati mama….tapi tak tertahan jua….baru petang tadi mama main dengan Ameer dan bergelak ketawa….pagi ni Ameer tinggalkan mama… dengan kenangan yang sangat indah….Ameer…
Mama pangku Ameer….peluk cium Ameer puas-puas….mama peluk Ameer sambil dibacakan Yaasin sementara menunggu urusan surat selesai dan pihak forensik datang…..wajah Ameer sungguh comel…..seolah-olah Ameer hanya tidur….ditatap wajah Ameer puas-puas…kemudian doktor meminta mama selesaikan urusan di pejabat pendaftaran untuk keluar wad….baru tadi mama selesaikan urusan masuk wad, sekarang selesaikan urusan keluar wad….kemudian selesaikan pula urusan untuk membawa pulang jenazah Ameer…Ya Allah…segalanya berlaku sekejap saja…
Jam menunjukkan 3.30 pagi….mama menunggu di tempat menuntut jenazah…tapi urusan memandikan dan mengkapankan jenazah dilakukan setelah selesai solat subuh…hampir pukul 8pagi arwah Ameer selesai dimandi dan dikapankan….mama dipanggil masuk untuk memberi kucupan kepada Ameer…ayah Ameer juga baru sampai dan sama-sama memberi kucupan buat arwah Ameer…
Arwah Ameer dibawa pulang dan dikebumikan di Jitra…segala urusan pengkebumian arwah Ameer selasai jam 11.30 pagi….

 

 

Semoga Arwah Ameer dicucuri rahmat…Selamat tinggal sayang….Pergilah dengan tenang wahai putera Syurga mama yang sangat-sangat mama sayangi….Muhammad Ameer sentiasa di hati mama…Al – Fatihah…

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

ˆ